Others

Meh le follow...

Friday, January 21, 2011

Kalimah suci itu...

Assalamualaikum. Untuk post kali ini, aku nak kongsi beberapa keping gambar tentang kebesaran Allah. Kejadian ini memang betul-betul berlaku dalam hidup aku. Kalau selama ni aku hanya sekadar melihat gambar-gambar kalimah Allah pada haiwan, tumbuhan dan lain-lain lagi, tetapi kali ini aku dapat melihat dengan mata kepala aku sendiri tentang kehebatan Allah ini. Subhanallah. Cuba lihat gambar bawah ini.

Tengok lagi..
Dan lagi..

Buah kepala kelapa tua ni dijumpai kat kawasan rumah aku. Menurut cerita mak aku, beliau dah lama perasan buah kelapa tu. Tapi tak tergerak hati pulak nak ambil buah kelapa tu sebab beliau fikir tiada apa-apa yang menarik pun pada buah kelapa tersebut. Sehinggalah pada penghujung petangnya, al-kisahnya ditakdirkanlah seorang pak cik ni merangkap kaum kerabat aku jugak terjumpa buah kelapa ini lalu beliau pun membelek-belek buah kelapa tersebut.
Maka, buah kelapa yang pada mulanya sekadar di pinggiran ini terus menjadi hot macam artis dalam sekelip mata sahaja. Kebetulan pak cik ni ada ‘link’ dengan sebuah akhbar apa entah namanya, maka dipanggillah akhbar tersebut untuk membuat liputan. Maka menjadi popularlah buah kelapa tua ini.
Lepas maghrib, barulah berita keajaiban buah kelapa ini sampai kat aku. Maka dipinjamkanlah buah kelapa ini untuk kami seisi keluarga menengok dan melihat-lihat sambil mengagumi kehebatan Allah. Apa yang menariknya, kalimah Allah pada buah kelapa ini bukannya 1, bukannya 2. Tapi kalau tak silap aku ada la dalam 5 hingga 7 kalimah. Subhanallah. Bukti kebesaran Allah bagi mereka yang mahu berfikir. Apa? Tak percaya aku tengok dengan mata kepala aku sendiri? Nah, ini buktinya. Tengok baik-baik gambar kat bawah ni. Siapa agak-agaknya gerangan pemuda comel yang bergambar dengan buah kelapa ni? 
 Sekarang ni nak percaya ke tak? Hohehohehohe
Okey lah. Cerita yang seterusnya pulak aku alami kat UiTM Johor Kampus Segamat tempat aku belajar. Masa tu aku dalam perjalanan balik ke kolej kediaman aku aitu Kolej Taming Sari. Waktu tu hari dah nak hampir senja. Jadi aku pun berjalanlah dengan agak laju sebab dah nak masuk waktu Maghrib. Tiba-tiba aku terperasan satu gumpalan awan pelik kat langit. Lama aku tenung, awan tu seolah-olah membentuk kalimah Allah. Cuba lihat gambar kat bawah ni.
   Kan? Kalimah Allah kan? Kan?
Tak nampak jugak? Gambar kat bawah ni besar sikit. Tak nampak jugak tak tau la.
Ni lah gambar kolej Taming Sari, UiTM Johor
Waktu tu, aku rasa aku seorang je yang perasan akan kalimah tersebut sebabnya waktu-waktu macam ni memang dah tak ramai orang yang ada kat luar rumah kolej. Aku pun ambil la beberapa keping gambar dalam keadaan malu-malu kucing sebab takut dipanggil sewel pulak ambil gambar waktu-waktu dah nak maghrib ni. Selesai sesi fotografi, aku pun balik ke bilik dan bersiap-siap untuk ke masjid.
Bila aku turun balik untuk ke masjid, aku pandanglah kearah yang sama untuk melihat kalimah Allah tersebut. Tapi pelik. Kalimah tersebut telah hilang sedangkan hari masih lagi cerah. Kalimah itu seolah-olah datang untuk diperlihatkan kepada diri aku seorang sahaja. Aku tertanya-tanya apakah ertinya semua ini? Mungkin satu teguran daripada Allah agar aku sentiasa ingat kat Dia. Maha Suci Allah. Terima kasih Tuhan kerana telah memperlihatkan bukti kebesaran dan kewujudan-Mu padaku. Mudah-mudahan aku akan menjadi hamba yang sentiasa mengingati dan mentaati-Mu.

Friday, January 7, 2011

Coretan perjalanan di Medan & Acheh

Aku dan delegasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Johor telah berkesempatan ke Medan dan Acheh pada cuti semester yang lepas dalam misi membantu mangsa-mangsa Tsunami di Acheh terutamanya golongan anak yatim yang kematian ibu bapa mereka akibat Tsunami.

Kami bertolak ke Medan dari lapangan terbang LCCT di KLIA, Sepang. Di Medan, kami mengadakan pertemuan dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia-Cawangan Medan (PKPMI-CM). Kami bertukar-tukar pandangan dan pengalaman tentang kehidupan alam kampus mahasiswa di Malaysia dan Indonesia. Pelajar-pelajar Malaysia di Medan yang kebanyakannya adalah jurusan perubatan hidup dalam keadaan sederhana dan jauh berbeza dengan apa yang dinikmati mahasiswa di Malaysia.

Aku tertarik dengan satu kenyataan dari seorang wakil pelajar Malaysia di Medan yang menyifatkan pasar malam di dalam kampus UiTM Johor pada setiap hari Selasa adalah “sangat melampau” apabila kami menceritakan tentang pasar malam di UiTM ini.Walaupun ia sekadar dilafazkan dalam nada gurauan, tetapi ia mengandungi pengertian yang mendalam betapa mahasiswa di Malaysia sangat mewah sehinggakan pasar malam pun ada di dalam kampus. Keadaan ini amat jauh berbeza kerana universiti di sana amat kurang menyediakan kemudahan untuk mahasiswa mereka.

Kami sempat melawat Universitas Sumatera Utara (USU) di Medan. Sangat menyedihkan. Keadaan disana tidak terurus dan ibarat kawasan tinggal. Bangunan-bangunan usang melatari pemandangan di sana. Jika UiTM Johor digelar universiti dalam taman, keadaan di USU pula sangat jauh berbeza. Pokok-pokok dan rumput dibiar tumbuh tidak terurus. Bukan untuk menghina, tetapi sekadar ingin mengajak kalian untuk berfikir betapa bertuahnya kita berada di bumi Malaysia ini. Justeru, bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Memandangkan kami disana dalam waktu perayaan hari raya Aidiladha, jadi kami telah diundang untuk bersama-sama berhari-raya di Konsulat Jeneral Malaysia di Medan yang merupakan pejabat wakil kedutaan Malaysia di Medan. Kami beraya bersama-sama warga Malaysia dan mahasiswa Malaysia yang belajar di sekitar Medan.

Pada petang hari raya, kami bertolak ke Acheh dalam misi menyampaikan bantuan hasil sumbangan warga UiTM Johor ke rumah anak yatim korban Tsunami di Banda Acheh.

Di Banda Acheh, kami berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Pemerintah Mahasiswa Universitas Syiah Kuala (USK) atau lebih dikenali dengan panggilan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) jika di Malaysia. Kami bertukar-tukar idea dan pandangan tentang kehidupan mahasiswa di UiTM Johor dan juga USK. USK mungkin lebih baik daripada USU dari segi persekitaran kampusnya, tetapi kehidupan mahasiswa di kedua-dua buah universiti ini tidak jauh berbeza. Mahasiswa di sana sangat berdikari dan tidak terlalu bergantung dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti. Kolej kediaman ada disediakan tetapi hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar miskin dan tidak berkemampuan sahaja. Sebahagian besar mahasiswa di USK terpaksa mencari kediaman sendiri diluar kampus.

Ruang masa yang ada kami gunakan untuk melawat bekas tapak Tsunami di Banda Acheh serta beberapa perkuburan besar mangsa-mangsa korban Tsunami. Peristiwa Tsunami sangat menyayat hati dan memberikan keinsafan kepada kami untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Sesungguhnya perjalanan kami ke Indonesia bukanlah perjalanan makan angin dan bersuka-ria. Perjalanan ini adalah dalam misi membantu mangsa-mangsa Tsunami serta merapatkan ukhwah antara mahasiswa di Malaysia dan di Indonesia. Pertemuan dengan mahasiswa di sana sedikit-sebanyak berjaya mengurangkan ketegangan antara kedua-dua buah negara. Kami berusaha mendapatkan penjelasan dan pandangan mahasiswa di Indonesia tentang konflik antara kedua-dua negara ini. Kesimpulan yang dapat aku buat, golongan-golongan intelektual di sana sebenarnya sangat menghormati Malaysia sebagai negara jiran mereka. Permusuhan ini sebenarnya banyak ditimbulkan oleh segelintir golongan yang kurang berpendidikan di Indonesia yang berfikiran sempit dan banyak dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu.

Perjalanan ini banyak mengajar aku untuk menjadi manusia yang lebih bersyukur dan menghargai nikmat dan kemewahan yang dikecapi di negara sendiri. Semoga perkongsian coretan ini dapat membantu menyedarkan kita semua untuk lebih menghargai apa yang kita ada. Sekian coretan perjalanan di Indonesia.

Thursday, January 6, 2011

Tanda-tanda kematian...

 
Tanda 100 hari sebelum hari mati
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.

Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 Hari
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 Hari
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda Akhir
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Percaya atau tidak, terpulang kepada diri masing-masing. Apa yang pasti, maut pasti akan menghampiri. Semoga kita semua sudah bersedia untuk bertemu dengannya.
Related Posts with Thumbnails