Others

Meh le follow...

Friday, January 7, 2011

Coretan perjalanan di Medan & Acheh

Aku dan delegasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Johor telah berkesempatan ke Medan dan Acheh pada cuti semester yang lepas dalam misi membantu mangsa-mangsa Tsunami di Acheh terutamanya golongan anak yatim yang kematian ibu bapa mereka akibat Tsunami.

Kami bertolak ke Medan dari lapangan terbang LCCT di KLIA, Sepang. Di Medan, kami mengadakan pertemuan dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia-Cawangan Medan (PKPMI-CM). Kami bertukar-tukar pandangan dan pengalaman tentang kehidupan alam kampus mahasiswa di Malaysia dan Indonesia. Pelajar-pelajar Malaysia di Medan yang kebanyakannya adalah jurusan perubatan hidup dalam keadaan sederhana dan jauh berbeza dengan apa yang dinikmati mahasiswa di Malaysia.

Aku tertarik dengan satu kenyataan dari seorang wakil pelajar Malaysia di Medan yang menyifatkan pasar malam di dalam kampus UiTM Johor pada setiap hari Selasa adalah “sangat melampau” apabila kami menceritakan tentang pasar malam di UiTM ini.Walaupun ia sekadar dilafazkan dalam nada gurauan, tetapi ia mengandungi pengertian yang mendalam betapa mahasiswa di Malaysia sangat mewah sehinggakan pasar malam pun ada di dalam kampus. Keadaan ini amat jauh berbeza kerana universiti di sana amat kurang menyediakan kemudahan untuk mahasiswa mereka.

Kami sempat melawat Universitas Sumatera Utara (USU) di Medan. Sangat menyedihkan. Keadaan disana tidak terurus dan ibarat kawasan tinggal. Bangunan-bangunan usang melatari pemandangan di sana. Jika UiTM Johor digelar universiti dalam taman, keadaan di USU pula sangat jauh berbeza. Pokok-pokok dan rumput dibiar tumbuh tidak terurus. Bukan untuk menghina, tetapi sekadar ingin mengajak kalian untuk berfikir betapa bertuahnya kita berada di bumi Malaysia ini. Justeru, bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Memandangkan kami disana dalam waktu perayaan hari raya Aidiladha, jadi kami telah diundang untuk bersama-sama berhari-raya di Konsulat Jeneral Malaysia di Medan yang merupakan pejabat wakil kedutaan Malaysia di Medan. Kami beraya bersama-sama warga Malaysia dan mahasiswa Malaysia yang belajar di sekitar Medan.

Pada petang hari raya, kami bertolak ke Acheh dalam misi menyampaikan bantuan hasil sumbangan warga UiTM Johor ke rumah anak yatim korban Tsunami di Banda Acheh.

Di Banda Acheh, kami berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Pemerintah Mahasiswa Universitas Syiah Kuala (USK) atau lebih dikenali dengan panggilan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) jika di Malaysia. Kami bertukar-tukar idea dan pandangan tentang kehidupan mahasiswa di UiTM Johor dan juga USK. USK mungkin lebih baik daripada USU dari segi persekitaran kampusnya, tetapi kehidupan mahasiswa di kedua-dua buah universiti ini tidak jauh berbeza. Mahasiswa di sana sangat berdikari dan tidak terlalu bergantung dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti. Kolej kediaman ada disediakan tetapi hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar miskin dan tidak berkemampuan sahaja. Sebahagian besar mahasiswa di USK terpaksa mencari kediaman sendiri diluar kampus.

Ruang masa yang ada kami gunakan untuk melawat bekas tapak Tsunami di Banda Acheh serta beberapa perkuburan besar mangsa-mangsa korban Tsunami. Peristiwa Tsunami sangat menyayat hati dan memberikan keinsafan kepada kami untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Sesungguhnya perjalanan kami ke Indonesia bukanlah perjalanan makan angin dan bersuka-ria. Perjalanan ini adalah dalam misi membantu mangsa-mangsa Tsunami serta merapatkan ukhwah antara mahasiswa di Malaysia dan di Indonesia. Pertemuan dengan mahasiswa di sana sedikit-sebanyak berjaya mengurangkan ketegangan antara kedua-dua buah negara. Kami berusaha mendapatkan penjelasan dan pandangan mahasiswa di Indonesia tentang konflik antara kedua-dua negara ini. Kesimpulan yang dapat aku buat, golongan-golongan intelektual di sana sebenarnya sangat menghormati Malaysia sebagai negara jiran mereka. Permusuhan ini sebenarnya banyak ditimbulkan oleh segelintir golongan yang kurang berpendidikan di Indonesia yang berfikiran sempit dan banyak dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu.

Perjalanan ini banyak mengajar aku untuk menjadi manusia yang lebih bersyukur dan menghargai nikmat dan kemewahan yang dikecapi di negara sendiri. Semoga perkongsian coretan ini dapat membantu menyedarkan kita semua untuk lebih menghargai apa yang kita ada. Sekian coretan perjalanan di Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails