Di tengahari hari Jumaat yang terik laksana berada di padang pasir yang tandus, Syahmi dan rakan-rakan sedormnya berbaring-baring di katil selepas tamat sesi persekolahan. Tiba-tiba kedengaran suara ustaz Ramli berteriak sambil memukul-mukul pintu...,
“Korban unta! Korban unta!”
Syahmi yang baru sahaja ingin melelapkan mata terus terlompat dari katil lantaran begitu terkejut dengan suara Ustaz Ramli yang tiba-tiba sahaja bertempik itu.
“Hah! Korban unta? Mana? Mana? Mana unta?” dalam keadaan separuh mamai Syahmi bertanya kebingungan.
“Kau ni dah kenapa? Mana ada unta?” jawab Fakhrul sambil memandang pelik ke arah Syahmi.
“Dah tu yang ustaz terjerit-jerit unta tu apa pasal?” tanya Syahmi kembali.
“Manalah aku tahu,” balas Fakhrul endah tak endah. Matanya terasa mengantuk lalu dia terus memejamkan matanya. Malas dia hendak melayan Syahmi yang banyak tanya tu.
Beberapa minit kemudian Ustaz Ramli datang lagi mengetuk-ngetuk pintu dorm sambil berteriak,
“Bangun! Bangun! Korban lembu! Korban lembu!”
Syahmi yang sedang berguling-guling di atas katil semakin dilanda kehairanan.
“Korban lembu pulak dah. Ustaz ni dah tak betul agaknya. Hari raya korban lambat lagi. Nak korban apanya???” Syahmi membebel-bebel seorang diri kerana Fakhrul dan Rahman telah pun enak berdengkur.
Beberapa minit selepas itu Ustaz Ramli datang lagi mengetuk-ngetuk pintu dorm sambil berteriak dengan teriakan yang lain pula bunyinya. Teriakan kali ini lebih kuat dan lebih keras sehingga telah membangunkan seluruh penghuni asrama yang sedang tidur.
“Korban kambing! Korban kambing! Bangun! Bangun!”
“Hai kambing pulak dah! Sah lah Ustaz ni dah tak betul. Unta lah, lembu lah, kambing, lepas ni apa pulak lagi...,” Syahmi semakin pening dengan gelagat ustaz tersebut. Dengan perasaan yang kurang sabar dia berlari mendapatkan ustaz tersebut untuk bertanyakan apa sebenarnya yang terjadi.
“Ustaz! Ustaz!” Syahmi memanggil-manggil Ustaz Ramli. Ustaz Ramli menoleh ke arah Syahmi lalu berkata,
“Hah, ada apa Syahmi? Cepat siap! Kita nak korban kambing ni. Kalau awal-awal tadi lagi bagus dapat korban unta.”
“Itulah yang saya nak tanya dekat Ustaz ni. Dari tadi saya terdengar ustaz duk jerit-jerit korban untalah, lembulah. Apa semuanya ni Ustaz? Raya korban bukan lambat lagi ke?” tanya Syahmi.
“Hah hah. Syahmi! Syahmi! Kamu tak tahu rupanya. Ok kamu dengar sini baik-baik ye...”
“Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.” (Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim)”
“Lah, itu rupanya. Saya ingatkan apa la tadi............................,” ujar Syahmi sambil tersengih-sengih. Dengan sepantas kilat dia berlari untuk bersiap menuju ke Masjid. Masih sempat lagi untuk dia mengejar pahala korban seekor kambing. Dia tidak mahu berkorban sekadar sebiji telur ayam sahaja.
Kesimpulannya, lagi awal datang solat Jumaat maka lagi besar pahala.. :-)
Nama dan watak tiada kena-mengena antara yang hidup dengan yang mati. Persamaan mungkin tidak disengajakan... heh heh heh... ;-)
Hahaha... Syahmi mane la yang tak tau tuh...
ReplyDeleteBuat malu nama Syahmi jer...